Suspek Tak Menyesal Bakar Tahfiz

Posted on

MASIH berkisar mengenai tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Nampaknya kejadian ini memberi kesan yang mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Sabtu lalu, pihak polis telah mengesahkan kes ini sudah diselesaikan dengan penangkapan tujuh suspek lelaki yang berumur dalam lingkungan 11 dan 18 tahun.

Namun, pelbagai reaksi yang ditunjukan keluarga mangsa mahupun netizen dengan penangkapan itu.

Terbaru, dikhabarkan ketujuh-tujuh suspek yang ditangkap tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap perbuatan kejam yang telah meragut 23 nyawa penghuni pusat tahfiz tersebut.

Menurut sumber seperti yang dilaporkan New Straits Times (NST), mereka hanya menunjukkan riak muka tidak bersalah semasa disoal siasat tentang apa yang telah terjadi.

“Mereka seolah-olah tidak menyesal dan tidak meminta maaf langsung kerana telah menyebabkan tregedi itu berlaku.

“Mereka hanya memandang bawah apabila dilontarkan pertanyaan. Mungkin mereka sedar yang mereka memang bersalah.

“Tiada tangisan atau apa sahaja perlakuan yang menunjukkan mereka menyesal dengan perbuatan mereka termasuklah suspek yang paling muda sekali,” katanya dipetik laporan NST.

Menurut sumber itu lagi, pada mulanya suspek hanya mahu membalas dendam dengan adegan ejek-mengejek yang berlaku antara mereka termasuk kejadian membaling botol. Namun, perkara yang lebih teruk pula berlaku.

Dalam pada itu, penduduk-penduduk di sekitar pusat tahfiz berkenaan menyatakan memang menjadi kebiasaan remaja-remaja berpeleseran di Taman Tasik Dato’ Keramat tersebut.

Ada juga penduduk yang mendakwa mengenali wajah mereka berdasarkan gambar-gambar yang tular pada Sabtu lalu.

“Mereka yang ditangkap merupakan penduduk sekitar sini. Saya telah melihat mereka menunggang motosikal berkali-kali di sini.

“Dari apa yang kami (penduduk) faham, kebanyakan mereka merupakan pendatang asing yang telah tinggal di Dato Keramat. Mereka dilahirkan di sini tetapi tidak bersekolah,” kata seorang lelaki berusia 40-an.

Seorang lagi penduduk wanita berusia 60-an memberitahu yang kawasan tasik itu memang menjadi tempat berpeleseran budak-budak nakal, budak yang menghisap rokok dan mungkin tempat untuk mengambil dadah.

“Perkara itu sudah bertahun terjadi di kawasan tasik berkenaan. Kadang-kala boleh nampak sekumpulan budak-budak yang berkeliaran di sekitar tasik,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa yang kadar jenayah di kawasan itu turut meningkat terutama sekali melibatkan kes kecurian dan pecah rumah.

Terdahulu, pihak polis telah berjaya menangkap ketujuh-tujuh suspek di antara pukul 6.30 pagi Jumaat dan 2.30 pagi Sabtu dari beberapa lokasi berbeza di sekitar Dato’ Keramat.

Loading…

Sumber : Gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *