Suspek Ada Datang Ke Tahfiz Selepas Kejadian Dan Pura-pura Bertanya

Posted on

SALAH seorang daripada tujuh suspek yang ditahan kerana membakar sekolah tahfiz di Kuala Lumpur ada datang kembali ke tempat kejadian beberapa jam kemudian untuk menyaksikan hasil perbuatan mereka.

Suspek berusia 15 tahun itu dilaporkan ada berbual-bual dengan salah seorang pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dan memberitahu pelajar itu bahawa dia tidak tahu apa yang telah berlaku di situ.

Maklumat itu dipetik oleh News Straits Times (NST) daripada salah seorang pelajar yang kebetulan telah bertembung dengan suspek di tempat kejadian.

Pelajar itu memberitahu NST bahawa pada ketika itu dia langsung tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena dalam perbualan singkat itu, dan suspek berpura-pura ingin tahu seperti orang lain yang datang untuk melihat di situ.

“Saya kenal salah seorang daripada budak-budak itu kerana dia adalah kawan saya. Kali pertama saya jumpa dia di tasik belakang sekolah kami, dia selalu di situ bersama yang lain,”

“Pagi itu saya nampak dia di tempat kejadian dalam jam 8 pagi. Dia menghampiri saya dan bertanya ‘macam mana boleh jadi macam ni’?”

“Pada masa tu, saya tak syak apa-apa, dia kemudian terus pergi tak lama selepas kami berbual-bual. Saya terkejut bila kemudiannya dapat tahu dia adalah antara yang ditahan polis kerana menyebabkan kebakaran,” kata pelajar itu, yang mana identitinya terpaksa dirahsiakan kerana kes sedang dalam siasatan pihak polis.

Kata pelajar itu lagi, dia bertuah masih hidup kerana pulang ke rumah keluarganya yang juga di Kuala Lumpur, pada petang sebelum insiden itu berlaku.

Katanya, dia terselamat oleh naluri hati, di mana dia merasa terlalu rindu dengan ibu dan ayah sampai ke tahap dia meminta izin daripada guru untuk pulang ke rumah.

“Saya sedang tidur semasa ibu kejut dan kata sekolah saya terbakar. Mulanya saya fikir ibu bergurau,”

“Ketika sedar ibu tidak bergurau, saya dan ayah terus bergegas ke sekolah. Ketika tiba, hostel saya sudah dijilat api,”

“Keadaan sudah senyap ketika itu, tiada lagi jeritan ataupun sebarang suara daripada kawan-kawan saya waktu itu,”

Kebakaran yang berlaku pada jam 5 pagi hari Khamis lalu menyaksikan 21 pelajar dan 2 orang guru sekolah tersebut, yang berusia antara 6 dan 26 tahun, terbunuh kerana mereka tidak dapat keluar daripada hostel, yang berada di tingkat paling atas bangunan sekolah tahfiz 3 tingkat di Dato’ Keramat.

Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan berhubung kebakaran itu dan mendapati ia berpunca daripada perbuatan khianat, sebelum siasatan lanjut membawa kepada penangkapan remaja-remaja berusia di antara 11 dan 18 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Sabtu lalu memberitahu wartawan bahawa kejadian itu berpunca daripada perasaan dendam berikutan kejadian ejek-mengejek antara pelajar tahfiz dan remaja berkenaan baru-baru ini.

Katanya lagi, siasatan mendapati suspek telah mengunakan dua silinder (tong) gas memasak dan bahan mudah terbakar berasaskan hidrokarbon untuk memulakan kebakaran.

Remaja-remaja tersebut kini sedang direman selama tujuh hari, dan kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh.

Sumber: EdisiRakyat.com

Loading…

Sumber : Gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *