Emas Malaysia ‘Dirompak’ Indonesia Protes AS$200

Posted on

 

KUALA LUMPUR – Tindakan saat-saat akhir kem Indonesia membuat bantahan dengan pertaruhan sebanyak AS$200 (RM856) menyaksikan sebutir pingat emas Malaysia ‘dirompak’ negara jiran itu.

Ia sekali gus merencatkan keceriaan kem negara selepas atlet gimnas wanita negara, Tan Ing Yueh diumumkan secara rasmi oleh panel pengadil sebagai pemenang pertama acara batang titian dengan catatan 13.100 mata.

Mujur pasukan Malaysia lebih bersemangat kesukanan dan menerima protes Indonesia sebelum keputusan tersebut akhirnya diubah semula dan emas kemudian terpaksa diserahkan pula kepada gimnas negara itu, Rifda Irfanaluthfi.

Deposit AS$200 itu sebenarnya merupakan caj untuk semakan semula mata perlawanan dan lazimnya digunakan oleh mana-mana pasukan untuk meluahkan bantahan atas pertikaian jumlah mata yang diperoleh pemain lawan.

Dalam pada itu, Ing Yueh ketika ditemui pemberita enggan memanjangkan isu kontroversi itu namun hanya mampu berkata “Maaf jurulatih. Saya sudah memberikan yang terbaik. Itu saja yang boleh saya lakukan.”

Ing Yueh yang sepatutnya ceria meraih pingat emas, namun kejayaan itu ‘disamun’ kontinjen Indonesia apabila mereka memprotes sekali gus menyaksikan atlet negara berusia 21 tahun itu hanya sekadar meraih pingat perak.

Lebih menyedihkan lagi, meskipun keputusan rasmi sudah dikeluarkan dan Ing Yueh telah dinobatkan sah selaku pemenang pingat emas acara berkenaan dengan catatan 13.100 mata, namun Indonesia melakukan protes.

Pengiraan semula menyaksikan emas dianugerahkan kepada Rifda dengan 13.125 mata. Namun, atlet kelahiran Melaka itu kekal tenang waima situasi itu menafikan peluang raih emas ketiga dalam acara artistik temasya kali ini.

Sebelum ini, Ing Yueh cemerlang mengungguli acara melombol wanita individu dan acara gimnastik artistik berpasukan bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.

“Memang sedih kerana perkara sebegini berlaku tetapi saya harus memandang ke hadapan. Ini memberikan saya pengajaran besar. Saya anggap semua ini sebagai pengalaman yang akan mematangkan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *